Resepi Gulai Kawah ‘Bekwoh’ Cikgu Afy AL Habibi


Cicah makan dengan roti ‘butut’.
Stail orang Kelantan, makan roti cicah gulai tambah gula sikit. Sedapnya manis-manis. 

Resepi Gulai Kawah ‘Bekwoh’
Sebab cikgu nak sangat kenalkan gulai kawah ni, maka cikgu pun dengan gigihnya masak sampai tengah malam semalam. Semerbak bau gulai kawah dalam rumah macam ada kat tempat kenduri di kampung.
Mujurnya, resepi ni lulus ikut tahap cikgu nak. Pecah minyak dan rasa seakan sama dengan mak masak guna kawah.

Resepi asal, gulai ni langsung tak tumis. Semua disediakan atas ‘darat’ dan ada beberapa bahan tambahan yang langsung tak sama dengan masak kari. Rasa gulai ni pun bukan rasa macam guna rempah kari ye.
Ikutkan cikgu, buat kuantiti sedikit macam ni susah sikit nak dapatkan rupa macam masak guna kawah.
Alhamdulillah akhirnya jadi jugak.
Dengan gembira, cikgu kongsikan resepi dari negeri Cik Siti Wan Kembang kepada kawan-kawan cikgu.
Tanda terima kasih cikgu atas segala sokongan.
Cikgu sangat hargai.
Selamat mencuba❤️
#resepicikguafy
Kredit : 
Afy AL Habibi


Sangai rempah ketumbar sehingga wangi. 
Kemudian kisar sehingga halus.

Bahan kisar : 
( untuk 1 kilo lebih daging)

- 4 biji bawang merah ( saiz besar dalam gambar)
- 5 hiris nipis serai
- 1 ulas bawang putih
- 1/2 inci halia
- 1/2 inci lengkuas

* yang dalam pinggan tu bukan kuantiti sebenar ye*

Selepas dikisar, masukkan dalam bekas.

Bahan tambahan :

- 1/2 sudu besar serbuk rempah ketumbar (yang disangai tadi)
- 1/2 sudu besar kerisik
- 1 relung kecil manisan “nise”
- 1 gelas air asam jawa ( secubit asam jawa + segelas air)
- 1 senduk budu
- 8 sudu besar rempah kawah atau nama lainnya ‘darat’

Masukkan semua bahan kisar tadi serta bahan tambahan.

Cikgu tunjuk rupa rempah kawah. Walaupun seakan warna kari, rasanya sangat berbeza.

Gaul sebati bahan dalam bekas ini.

Bahagian lauk yang cikgu masukkan: 
Nak guna kambing pun boleh.

- perut
- daging
- tulang
- hati
- paru

Lauk dan rempah digaul sebati dalam bekas ini terlebih dahulu.

Kemudian masukkan dalam kuali. 
Cikgu guna kuali menggantikan kawah.
* jangan buka api lagi*

Masukkan terlebih dahulu 1/2 cawan santan pekat. Cikgu guna santan dari perahan kelapa segar ye.
Kacau rata.

Masa ni lah proses kita sebut gulai ‘darat’. Sebab bahan disediakan sebelum diletakkan atas api. Faham kan?

Barulah dibuka api paling perlahan. Tutup dengan tudung periuk. Renehkan selama 1 jam untuk gulai pecah minyak dan daging separa lembut.

* untuk gulai kawah sebenar, sepatutnya santan diletakkan habis pada peringkat pertama dan dimasak sehingga daging empuk.

* sebab masak sikit, cara ni menjadi untuk dapatkan rupa gulai yang cantik.

Selepas kuah mula pecah minyak, barulah dimasukkan santan peringkat kedua.

Masukkan sebanyak 1/2 lagi santan pekat + 2 cawan air.

Masukkan bahan perasa peringkat kedua:
- 1/2 sudu besar perencah Hilal
- 1 1/4 sudu besar garam
- 1/2 lagi manisan/nise
- 1 sudu besar gula

* kuantiti perasa ni ikut citarasa / kuantiti kuah yang terhasil.

Renehkan lagi 1 jam untuk daging betul-betul empuk dan santan pecah minyak cantik.

Ini rupa gulai kawah cikgu semalam sebelum ditutup api.

Dah pecah minyak.

Bangun pagi ni, cikgu panaskan lagi 1/2 jam.
Cikgu tambahkan air lebih kurang 2 cawan sebab kuah dah jadi sedikit pekat.

Terpulang kalau suka kepekatan tahap mana.

* bila tambah air, kena tambah sedikit lagi garam gula ikut citarasa yang sesuai.

Boleh tutup api.

Nampak kan, gulai kawah cikgu pecah minyak. Barulah gulai cantik.

Masak guna kawah dalam kuantiti banyak dengan masak kuantiti sedikit ada beza. Jadi kena ikut betul-betul tau.

Comments