Resepi Kari Kambing India KhairulHakimin


Itu hari masa pulang ke Mentakab, abang aku ada beli daging kambing. Iya, walau resipinya dah 691 kali orang kongsi, aku nak selit jugalah. Biasalah, mana boleh kalah kan. Kahkah.
Ya, tak guna santan. Tolonglah tak tanya lagi dan kalau tanya juga, malas aku layan. Kari India ada dalam 500+, jadi kalau nak bertengkar pasal rempah, cara tumis dan guna santan ke tak, sampai ke sudahlah tak siap masaknya. Ikut kau orang. Selera masing-masing okeh.
Emak aku kata, "siapa yang kreatif di dapur, dialah yang sebenarnya pandai memasak." Ha, kau ada? Ok jom.
Kari Kambing India.
  • 3kg kambing, campur tulang.
  • 3 biji bawang besar India,
  • 5 ulas bawang merah India,
  • 7 biji cili hijau besar,
  • 5 biji buah tomato,
  • 3 inci halia, 
  • 5 sudu besar rempah kari daging,
  • 1 sudu besar serbuk kunyit,
  • 2 sudu besar serbuk cili,
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis,
  • 3 batang kayu manis,
  • 3 kuntum bunga lawang,
  • 1 sudu besar buah pelaga,
  • 3 tangkai daun kari,
  • 2 sudu besar rempah beradik (halba, jintan dan biji sawi),
  • 3 sudu besar asam jawa,
  • 5 biji kentang,
  • 5 biji badam, 
  • 1-2 sudu besar gula,
  • 1-2 sudu kecil garam,
  • Sedikit air.

Cara-caranya kau tengok dalam gambar ya.
Khairul Hakimin Muhammad
Gunakan kuali yang kau ada, letak sesenduk minyak masak dan buka api. Iya, salah. Ini periuk bukan kuali okeh. Kahkah.
 Masukkan rempah 3 beradik yang ada halba, jintan dan biji sawi, sekali dengan kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bawang besar dan bawang merah yang kau dah hiris .
 Kahkah, terlupa halia. Kasi campak sekali.
 Dah berbau harum dan bawang semua dah layu, kau humban semua daging kambing yang dah dibasuh bersih.

 Gaul rata macam itu. Ini dipanggil proses seal yang mana kita pegang kuat dengan mingak tumisan itu supaya jika daging dah empuk, dia tak hancur. Haaa. Hebat tak.

 Letak rempah begini. Lawa kemain ada beberapa warna. Ambillah gambar. Kahkah. Bancuh dengan secawan air ya.

 Kahkah, hangin aku. Macam itu sahaja anak aku masukkan semua rempah. Padahal kena gaul betul-betul dulu. Kau kacau rata ya.

 Masukkan kentang yang dah dibuang kulit dan dibasuh bersih. Kau tak payah ketawa, itu hari dah ada yang masukkan kentang dalam kurma haram tak buang kulit. Geramnya aku dia PM. Oh ya. Masukkan 2 cawan air. Kacau sekejap dan tutup periuk sekitar 15 minit

 Tadaaa! Daging juga dah keluarkan airnya. Kacau rata.

 Masukkan cili hijau dan tomato.

 Masukkan daun kari dan tangkainya sekali. Penting untuk tangkainya masuk kerana ia beri kalsium kepada badan. Bukan kasi Kalsum ye. Aku tampar kau nanti.

 Jika daging dan kentang dah empuk, barulah masukkan air asam jawa. Kau bancuh dengan 1 cawan air ja.

 Biarkan ia mendidih. Jika cair, kau biarkan ia mereneh lama sikit. Jika terlalu pekat, kau tambah sikit-sikit airnya. Dah ok, kau tumbuk badam sampai lumat dan masukkan ke dalam kari ini. Ia akan kasi kari ini berlemak dan sedap woih.

Masukkan sedikit gula dan garam. Tutuplah api.
Selamat mencuba!

Comments

  1. Minta izin untuk gunakan resepi dan gambar untuk buat assignment. Terima kasih

    ReplyDelete

Post a Comment